Skip to main content

UniSHAMS Terima Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Bagi Ambilan Sesi Februari 2024

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟭𝟴 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menerima pendaftaran kemasukan pelajar baharu bagi Ambilan Sesi Februari 2024, pagi ini. Sesi pendaftaran telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah dengan kira-kira 176 orang pelajar telah berjaya mendaftarkan diri.
     
    Majlis Taklimat Bersama Waris kemudiannya diadakan dan disempurnakan oleh Prof. Dr Ahmad Rozelan Yunus, Pengarah Pusat Hubungan & Kolaborasi Antarabangsa, yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Kelestarian & Jaringan Institusi. Beliau yang juga mewakili Naib Canselor UniSHAMS, ketika menyampaikan ucapan telah menyatakan harapan agar para pelajar dapat memanfaatkan sebaiknya masa muda mereka untuk menimba seberapa banyak ilmu yang bakal diperolehi dari guru-guru dan ‘murabbi’ di UniSHAMS. Ujar beliau lagi, “Para pelajar haruslah berdisiplin dan bijak dalam menguruskan masa, serta tidak sesekali menghampakan harapan ibu bapa yang hadir bersama pada hari ini bagi mendaftarkan pelajar di UniSHAMS”. Beliau turut meraikan kedatangan dan merakamkan setinggi penghargaan kepada para pelajar dan waris kerana menjadikan UniSHAMS sebagai destinasi pengajian pilihan.
     
    Sempena majlis tersebut, satu sesi taklimat berkaitan pembiayaan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah disampaikan oleh Cik Nur Sakinah Abd Malik, Eksekutif Jualan, PTPTN Cawangan Kulim. Para pelajar yang telah mendaftar akan mengikuti program Minggu Silaturrahim (MSR) iaitu program orientasi, di bawah kelolaan Pusat Hal Ehwal Pelajar, bermula hari ini sehingga 21 Februari 2024.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom