| 31 Ogos 2011
Pada awal Ramadhan 1432H lepas, satu delegasi INSANIAH yang diketuai oleh Rektor INSANIAH, Prof. Dato’ Wira Dr Jamil bin Osman telah membuat lawatan ke Jeddah, Arab Saudi. Delegasi tersebut telah membuat kunjungan hormat ke Islamic Research and Training Institute (IRTI) dan telah disambut penuh mesra oleh Pemangku Pengarah IRTI, Dr. Lamine Ali Doughri dan Dr. Khalifah Mohamed Ali. Susulan lawatan ke IRTI, delegasi INSANIAH telah diberi penghormatan untuk mengunjungi Presiden Bank Pembanguan Islam ( Islamic Development Bank – IDB ), Tuan Yang Terutama Dr. Ahmed Mohamed Ali.
Dalam kunjungan ke Pejabat Presiden IDB, beberapa perbincangan telah diadakan dan antaranya merangkumi Program Sarjana Kewangan & Perbankan Islam e-Learning On-Line ( Masters in Islamic Banking and Finance – eLearning On-Line) yang merupakan satu program usahasama di antara IDB dan INSANIAH. Pihak IDB telah juga dimaklumkan berhubung usaha INSANIAH menubuhkan Pusat Global Kewangan, Keusahawan dan Perbankan Islam ( Global Centre for Islamic Banking, Finance and Entrepreneurship – GCIBFE) dan seterusnya telah melantik GCIBFE sebagai Pengurus Program ( Programme Manager) bagi MIFB-eLearning On-Line.
Turut dibincangkan juga ialah penganjuran ‘Langkawi Islamic Finance & Economics ‘ Ke 3 ( LIFE 3 Conference ) yang dijadualkan pada 28-31 Oktober 2011. Pihak IDB melalui IRTI telah bersetuju untuk terlibat dengan lebih aktif pada penganjuran LIFE3 ini dan akan member sokongan penuh dari aspek penajaan konferen, delegasi peserta serta kemudahan lain bagi memastikan LIFE 3 akan lebih berjaya.
IDB dan IRTI turut diberikan taklimat terkini berhubung kemajuan Pembangunan Kampus Induk INSANIAH di Kuala Ketil, Kedah yang kini sedang rancak dibangunkan dan dijangka siap pada Februari 2013.
Secara keseluruhannya, lawatan delegasi INSANIAH ke Jeddah, Arab Saudi disifatkan amat berjaya dalam usaha untuk terus membangun dan memperkasakan INSANIAH.




