20 Jun 2012

INSANIAH, 19 Jun – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah juga Ahli Lembaga Pengarah INSANIAH, Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul menggesa setiap warga Kolej Universiti INSANIAH mengekalkan budaya kerja kualiti bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang dikecap INSANIAH selama ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Budaya Kualiti INSANIAH di Dewan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah hari ini mewakili Menteri Besar, Dato’ Setia Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Nada sama turut disuarakan Rektor INSANIAH, Prof. Dato’ Wira Jamil Osman yang menyifatkan majlis pelancaran ini adalah pengukuhan kepada transformasi positif yang dilakukan di INSANIAH sejak 2008.
Beliau juga berharap budaya kerja kualiti terus disemai oleh semua kakitangan dan diperkukuhkan lagi dengan penerapan budaya kerja Islamik.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti INSANIAH, Tuan Hj. Wan Ahmad Shafiee, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Zakariya dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengantarabangsaan, Prof. Dr. Wan Sulaiman Wan Yusoff, Timbalan Rektor Pentadbiran, Pembangunan dan Penyelidikkan, Datin Wira Dato’ Hajjah Che Barni Mohd Noor di samping wakil dari Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra.
Pada majlis itu juga menyaksikan 38 Dekan Kulliyyah dan Ketua Jabatan, masing-masing menerima plak Deklarasi Kualiti yang disampaikan Dato’ Taulan.




