25 Jun 2012

INSANIAH, 25 Jun – Kolej Universiti INSANIAH menerima 903 pelajar baru bagi mengikuti pengajian peringkat asasi, diploma dan ijazah sarjana muda pada sesi pendaftaran pelajar bagi sidang Akademik 2012/2013 disusuli taklimat dan Minggu Silaturrahim di Mergong hari ini.
Hadir meraikan pelajar dan ibubapa adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah juga Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan Negeri, YB Dato’ Ir. Hj. Amiruddin Hamzah.
Beliau dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri menerusi kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak komited menyediakan prasarana pendidikan terbaik di negeri ini bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan yang sewajarnya.
Ini dibuktikan melalui pembinaan kampus tetap INSANIAH di Kuala Ketil yang kini telah 75 peratus siap di samping penubuhan cawangan Maktab Mahmud di kebanyakkan daerah.
Beliau memberi jaminan, kampus yang dijangka siap sepenuhnya Februari 2013 mampu memberi suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif buat pelajar INSANIAH setelah berpindah kelak.
Dato’ Amiruddin pada masa sama mengucapkan tahniah kepada pelajar yang dipilih melanjutkan pengajian di INSANIAH sambil menyifatkannya pilihan tepat dan berharap mereka belajar bersungguh seterus memanfaatkannya dengan berbakti kepada masyarakat.
Justeru tenaga pengajar disaran memberi khidmat terbaik bagi memastikan hasrat berkenaan dapat direalisasikan.




