05 Julai 2012

ALOR SETAR, 4 Julai – Kerjasama terjalin antara Kolej Universiti INSANIAH dan Universiti Islam Yala (YIU) sejak empat tahun lalu memasuki fasa baru hari ini apabila kedua institusi pengajian tinggi memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Aman disaksikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Setia DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan INSANIAH diwakili Rektornya, Prof. Dato’ Dr. Jamil Osman sementara YIU diwakili Rektornya, Dr. Ismail Lutfi Japakiya.
Hasil daripada MoU ini akan membolehkan INSANIAH dan YIU berkongsi dan bertukar kepakaran juga sumber yang dimiliki selain projek usahasama, latihan dan pertukaran staf di samping mengadakan penganjuran bersama kursus, symposium dan seminar.
Menteri Besar Kedah juga Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH berharap MoU yang dimeterai akan memperkasakan hubungan dua hala INSANIAH dan YIU khususnya meningkatkan tahap akademik di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam kedua buah negara.
Sementara itu Rektor YIU, berkata beliau bersyukur dan gembira atas perjanjian yang ditandatangani di samping mengucapkan terima atas bantuan dan kerjasama yang diberikan INSANIAH membantu minoriti Islam di selatan Thailand melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.




