12 Ogos 2012

INSANIAH, 8 Ogos – Seramai 40 pelajar Kolej Universiti INSANIAH menerima sumbangan zakat yang disampaikan Pengurus Besar Era Edar Marketing Sdn. Bhd. juga Presiden KUSDA Holdings Sdn. Bhd., Prof. Dr. Hjh. Hamsiah Ismail.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Era Edar Sdn. Bhd., Encik Jamaludin Md. Piah di samping Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan INSANIAH, Prof. Madya Zakariya Man, Pensyarah Kanan Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi dan Pengurus Besar International INSANIAH Foundation, Encik Zolkefli Othman.
Prof. Madya Zakariya Man dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Era Edar atas sumbangan yang diberikan dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik.
Sambil menyifatkan tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan Era Edar sebagai satu langkah murni, beliau turut menyuarakan hasrat menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan bagi menyediakan latihan industri kepada pelajar INSANIAH pada masa depan. Menurut beliau perbincangan lanjut mengenainya akan dilakukan bagi merealisasikannya.




