18 September 2012

INSANIAH, 17 Sept. – Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyeru graduan supaya memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari ke jalan yang diredhai dan diberkati Allah S.W.T.
Bertitah pada Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti INSANIAH ke-14 hari ini, baginda juga Canselor INSANIAH berharap graduan bukan sahaja perlu menjadi profesional yang cekap dan berkebolehan dalam menjalankan urusan duniawi semata-mata malah perlu diseimbangkan dengan ilmu akhirat.
Titah baginda, ini sekaligus dapat membawa kemajuan dan perkembangan yang lebih dinamik kepada diri, negara, agama dan bangsa pada masa hadapan.
Baginda bertitah, graduan INSANIAH sangat bertuah kerana bukan dapat menimba ilmu di sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa ditunjangi cerdik pandai dan ulama terkemuka dari dalam dan luar negara.
“Beta juga merasa gembira kerana KUIN yang dahulunya hanya mempunyai kurikulum dan bidang ilmu yang kecil dan terbatas serta tumpuan hanya diberikan kepada pengajian Islam, kini telah berkembang menjadi IPT yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitaliti, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam," titah baginda.”
Terdahulu keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong ke Kampus INSANIAH Mergong buat kali pertama sejak ditabalkan sebagai Agong XIV disambut Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Setia DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak juga Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH, Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Sheikh Baderuddin Hj. Ahmad dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Dato’ Wira Sheikh Yahya Jusoh.
Hadir sama Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar Dato’ Zakiah Kassim, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah INSANIAH, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seraja Setia Dato’ Rasli Basir di samping Pengurusan Tertinggi INSANIAH.
Pada istiadat konvokesyen kali ini seramai 940 graduan menerima skrol ijazah dan diploma masing-masing dalam pelbagai bidang.